Waktu kecil-kecil dulu, aku sering cemburu pada ibu. Bukan cemburu
kerana ibu lebih cantik atau menawan dariku. Tapi aku cemburu bila
melihat ibu selalu membeli barang-barang keperluan dirinya yang
pelbagai. Ibu selalu membeli baju-baju baru, yang kebanyakannya disimpan
di dalam almari usangnya. Boleh dikatakan setiap bulan, ibu akan
membeli kain ela baru untuk dibuat baju. Kadang-kadang ibu beli tanpa
memberitahuku. Tahu-tahu, sudah tergantung di dalam almari. Pakaian ibu
cantik-cantik dan sebagai anak yang sudah meningkat remaja (14 tahun)
aku akui rasa cemburu setiap kali ibu menunjukkan pakaian barunya
sedangkan aku waktu itu, jarang dibelikan persalinan yang baru.
Satu lagi yang membuat aku sebal dengan sikap ibu ialah, ibu selalu
membazir duit dengan membeli barang-barang kemas yang pelbagai bentuk.
Cincinnya hampir semua jari ada tersisip. Rantai leher ada lima utas.
Yang satu bergulung-gulung hingga ke dada. Yang satu lagi bulat-bulat
bagai kepingan syiling lima puluh sen. Ibu sanggup berhutang hanya untuk
mendapatkan rantai baru. Aku tidak tahu apa keperluan semua itu. Aku
lihat jiran-jiran ibu juga begitu. Kerlipan emas sarat di leher, tangan
dan jemari. Aku tidak tahu apakah itu satu pemandangan biasa atau
keperluan bagi orang-orang yang seusia dengan ibu.
Yang
sebetulnya, aku kecil hati kerana ibu tidak pernah membelikan barang
kemas walau sepasang anting-anting pun untuk aku. Aku jadi sakit hati
juga kerana kakak-kakakku masih lagi mendapat sekurang-kurangnya
sebentuk cincin dari ibu. Biasanya
cincin yang ibu rasakan sudah
lama dipakai, ibu akan berikan kepada kakak-kakakku, tetapi tidak aku.
Ini membuatkan aku betul-betul sakit hati.
"Mak ni, asyik beli
rantai...jee. .. kan mak dah banyak rantai.."Aku membebel satu hari bila
mak menunjukkan seutas rantai yang baru dibeli. Juga secara hutang.
"Tak apalah Nana, mak saja simpan banyak-banyak. Mana tahu, mungkin
berguna satu hari nanti. Lagipun rantai ni ayah kamu dah janji lama nak
belikan mak dulu..."Aku muncung dengar mak jawab begitu.
"Asyik
belikan mak....aje. Orang punya takde belikan pun..."Aku mencebik.
Seharusnya aku anak perempuan yang bongsu patut dilebihkan dalam segala
hal. Tapi ibu tidak pernah bersikap begitu.
"Ibu belikan kak yah dan kak Ani cincin, tapi Nana ibu tak belikan apa-apa pun..."
"Nana kan masih sekolah. Kalau Nana nak pakai barang kemas, tunggu dah
kerja esok."Begitu selalunya ibu membahasakan aku. Sakit hati aku.
Tambah sakit hati, bila saja Ayah dapat hasil kebun lebih, ibu menukar
rantainya dengan yang lebih besar lagi. Ayah tidak pula marah. Pelik aku
dengan sikap ayah.
Lama-lama aku jadi malas untuk melayan
sakit hatiku lagi. Bila aku terlihat cincin atau rantai baru dileher
ibu, aku hanya diam saja. Aku tidak mahu bertanya apa-apa. Sehinggalah
aku masuk ke asrama di bandar dan mengambil SPM. Setiap kali aku pulang
dari asrama, aku lihat ibu masih dengan hobinya mengumpul barang-barang
kemas.
Bila aku mendapat tawaran belajar di universiti, aku
tidak tahu sama ada ibu gembira atau sebaliknya. Kerana dalam keluarga
belum pernah ada anak-anaknya yang berjaya belajar di universiti. Aku
tidak kisah kalau ibu tidak berbangga dengan hasil usahaku kerana sedari
kecil memang cita-citaku untuk ke universiti begitu kuat sekali. Kini
hasratku itu telah tercapai dan tiada apa lagi yang lebih menggembirakan
selain kejayaan ini.. Aku sudah boleh hindarkan perasaan cemburu andai
ibu lebih sayangkan kakak-kakakku atau ibu lebih sering membelikan
pakaian atau perhiasan untuk mereka berbanding aku. Memang aku bukanlah
manja sangat dengan ibu kerana 3 tahun aku di asrama.
Sepanjang
tempoh itu aku tidak kisah lagi kalau ibu tidak belikan langsung
apa-apa untuk aku. Aku tidak perlukan barang-barang kemas begitu dari
ibu. Aku boleh beli sendiri bila aku sudah bekerja nanti. Yang penting
aku sudah buktikan yang aku lebih bijak dari kakak-kakakku yang lain.
Masuk tahun kedua pengajian, aku sering mengalami lemah badan dan
pening-pening yang keterlaluan. Kadang-kadang aku terpaksa ponteng kelas
dan ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pelajaranku. Aku tidak
pernah mengadu pada sesiapa walau dengan
ibu. Kerana aku tidak
pernah merasakan ibu akan memberi perhatian kepadaku. Sehinggalah aku
pitam sewaktu beratur mengambil makanan dan hanya tersedar bila
merasakan genggaman di jemariku. Wajah ibu yang penuh garis-garis halus
itu aku tatap pilu dan terasa ada getaran dalam dadaku. Betapa aku tidak
pernah membelek wajah itu sungguh-sungguh sebelum ini. Dan baru aku
sedari betapa berbezanya wajah ibu kini.
Aku cuba bersikap
seperti biasa bila doktor memaklumkan akan keganjilan darahku yang
menyebabkan ia tidak dapat mengalir senormal mungkin. Penyakitku belum
diketahui, tetapi darahku harus dicuci. Aku juga harus menjalani
pembedahan dibahagian buah pinggang. Sejak itu ibu mengunjungiku saban
hari. Dia membawakan apa-apa saja yang dirasakan menjadi kegemaranku.
Suatu hari, bila ibu bawakan aku lepat pisang makanan kegemaranku aku
jadi begitu terharu lalu aku menangis teresak-esak. Tapi aku hanya
menangis dalam diam-diam. Aku terlalu menghargainya tetapi aku tidak
tahu bagaimana untuk meluahkan. Aku tidak mahu dia melihat aku seperti
terlalu berharap akan kasih sayangnya.
Saban hari ibu menemani
dan menyuapkanku makan, aku mula sedar betapa ibu juga menyayangiku,
cuma mungkin dia tidak atau kurang menunjukkan perasaannya. Aku jadi
malu kerana sering beranggapan ibu menyisihkanku. Beranggapan yang ibu
tidak mengendahkanku semata-mata kerana dia tidak pernah membelikan
apa-apa untukku. Setiap kali ibu ingin pulang, aku teringin sekali
memeluk dan mencium pipi ibu, tetapi aku rasa janggal dan malu untuk
melakukannya. Aku hanya mampu mencium tangan ibu seperti selalu.
Aku tidak mengharapkan ibu menemaniku setiap hari. Bukan kerana aku
tidak suka, tetapi aku tidak mahu dia menghabiskan wang semata-mata
untuk berulang alik dari rumah ke bandar. Pendapatan ayah bukanlah besar
sangat. Tambahan adik lelaki masih belajar di menengah. Pembedahanku
pula terpaksa ditangguhkan kerana kekurangan wang. Aku terpaksa
mendahulukan wang biasiswaku tetapi ia masih tidak mencukupi.
Semalam, ibu tidak mengunjungiku. Hari ini juga tidak. Hanya Ayah yang
terpacul tengahari itu dengan membawa khabar gembira. Wan g yang
dikumpul telah mencukupi dah aku akan dibedah secepat mungkin. Bila aku
bertanyakan ibu, Ayah menyatakan ibu tidak berapa sihat dan tidak dapat
datang. Aku menunggu hari esok dengan sabar.
Pagi itu aku
disorong ke bilik pembedahan. Aku tidak tahu berapa lama pembedahan
tersebut. Bila tersedar aku melihat wajah ayah dan kedua kakakku di
sebelah. Aku mencari wajah ibu tetapi tiada. Sedang wajah-wajah
didepanku terlihat mendung dan muram. Aku tidak tahu apakah mereka tidak
gembira melihat aku selamat dibedah.
"Mak mana, ayah?'Aku
bersuara perlahan. "Kenapa mak tak datang?" Ayah tidak menjawab
sebaliknya hanya memandangku dengan mata yang mula berkaca.
Setelah berkali-kali aku bertanya, Ayah memelukku erat sambil berbisik
ditelinga. Aku terjelepuk dan tidak sedar diri selepas itu.
Kata ayah, ibu baru semalam disemadikan. Ibu tidak dapat diselamatkan
setelah parah dilanggar motorsikal dari belakang. Aku tidak dapat
menahan hiba bila ayah menyatakan, ibu baru saja beberapa langkah keluar
dari sebuah kedai pajak apabila tubuhnya disambar motorsikal yang
dipandu laju. Ibu dikejarkan ke hospital dan sempat menyerahkan
bungkusan itu sebelum menghembuskan nafas.
Kata ibu, bungkusan
itu untuk aku. Tanganku terketar-ketar saat membuka bungkusan kain perca
itu. Terlihat sebentuk cincin halus yang bermata satu. Cincin itu untuk
aku. Ibu telah menebus semula cincin itu untuk dihadiahkan kepadaku.
Bila aku harus
menjalani pembedahan, dan wang yang terkumpul masih
belum mencukupi, ibu telah menggadai semua barang-barang kemasnya hingga
tiada satu yang tersisa. Hanya tinggal cincin itu untuk diberikan
kepadaku. Ibu bercadang untuk memberikannya kepadaku bila aku sembuh
nanti.
Akhirnya, ibu berikan juga aku sebentuk cincin. Bukankah
itu yang selalu aku harapkan selama ini? Adakah ia telah dapat membayar
segala rasa iri hatiku selama ini? Tiba-tiba aku rasa dunia ini begitu
sepi. Aku rasa seperti telah ditinggalkan jauh oleh orang yang amat aku
perlukan .Kenapa baru sekarang aku sedar segunung intan permata pun
tidak akan mampu menandingi
kebahagian memiliki seorang ibu. Dan
segunung intan permata juga tidak dapat membayar air mata seorang wanita
yang telah melahirkan aku.